Sumber: http://www.bharian.com.my/articles/Mengajaranakpekak_bisubertutur/Article/
SEBELUM ini bahasa isyarat sinonim dirujuk sebagai bahasa pertuturan di kalangan individu pekak dan bisu tanpa ramai yang menyedari ada kaedah lain dapat membantu mereka berkomunikasi melalui lontaran vokal, sama seperti insan normal.
Lebih membanggakan, melalui teknik khusus yang dipanggil kaedah Kiu ini, mereka juga diajar menulis, membaca dan mengira malah mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran walau di dalam sebutan yang sedikit ganjil.
Bagi yang tidak melihat, ia mungkin kedengaran mustahil. Tapi pertemuan yang diatur bersama Penyelia Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kiu, Rohimah Alias, di Pusat Pertuturan Kiu (PPK) Kampung Pandan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini bukti ia bukan omongan kosong.
Rohimah berkata, Kiu adalah bentuk pertuturan unik yang membolehkan setiap patah perkataan dapat dilihat dan dibaca oleh mereka yang cacat pendengaran iaitu melalui kombinasi posisi serta bentuk tangan bersama pergerakan bibir juga lontaran suara.
Kaedah itu diperkenalkan oleh Dr R Orin Cornett pada 1967, khusus untuk pelajar cacat pendengaran belajar bertutur bahasa Inggeris di Amerika Syarikat.
Kemudian, ia diterjemah ke dalam bahasa Melayu pada 1982 oleh Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia ketika itu, Tan Chin Guan bagi membantu golongan cacat pendengaran di Malaysia menguasai bahasa ibunda.
“Berbeza dengan Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT) atau bahasa isyarat yang dikatakan tidak selaras fahaman bahasanya, Kiu lebih mudah dipelajari iaitu hanya melalui lapan bentuk tangan mewakili konsonan manakala terdapat tiga posisi untuk bunyi vokal.
“Apabila kemahiran ini dapat dikuasai, secara tidak langsung kanak-kanak cacat pendengaran boleh diajar bertutur dan menguasai bahasa,” jelas Rohimah yang berpengalaman mengajar kaedah Kiu hampir 15 tahun.
Tambah Rohimah, PPK Kiu adalah satu-satunya PDK di negara ini yang dikhususkan bagi mengajar kanak-kanak pekak dan bisu mempelajari kaedah Kiu dan pusat ini adalah di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, objektif utama penubuhan pusat itu adalah bagi memahirkan kanak-kanak pekak dan bisu menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira serta mampu mengeluarkan vokal.
Sehingga kini, PPK Kiu mempunyai 14 pelajar berusia di antara tiga tahun hingga 12 tahun dan setiap mereka disyaratkan supaya memakai alat pendengaran sebelum diterima sebagai pelajar.
“Setiap ibu bapa juga disyaratkan mempelajari dan mahir Kiu supaya ia menjadi satu peringkat pembelajaran yang berterusan sepanjang masa dan tidak hanya dipraktikkan di sekolah,” katanya.
Subjek kurikulum yang diajar di PPK Kiu sama seperti yang diajar kepada kanak-kanak prasekolah iaitu Pendidikan Agama, Matematik, bahasa Inggeris, Sains dan Moral.
Terang Rohimah lagi, kebiasaannya kanak-kanak cacat pendengaran boleh mahir kaedah Kiu selepas tiga tahun berada di PPK Kiu dan usia terbaik untuk memulakan kelas adalah pada usia tiga atau empat tahun.
“Tapi bagi kes terpencil seperti ibu bapa yang lambat mengetahui kewujudan pusat ini, guru akan membuat latih tubi secara insentif dan dalam tempoh setahun, kebiasaannya murid mampu menguasai 3M dengan baik,” katanya.
Pada pertemuan itu juga, penulis sempat mengikut sesi persekolahan kanak-kanak istimewa itu yang dimulai sesi perhimpunan di mana mereka akan menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama.
Kemudian pelajar akan masuk ke kelas dan memulakan pembelajaran yang berakhir tepat jam 12.30 tengah hari.
Istimewanya, di sini juga ada seorang guru istimewa yang dilahirkan cacat pendengaran, Iffah Ishak, 21, dan dia ditugaskan mengajar kanak-kanak pekak dan bisu bertutur.
Mengejutkan kerana setiap soalan yang diajukan kepada gadis yang berkelulusan Sijil Kemahiran Reka Bentuk, Politeknik Johor Bharu ini mampu dijawab dengan baik. Tiada yang asing cuma mungkin sebutan vokalnya sedikit sengau.
Sementara itu, lagak murid cacat pendengaran, Khalif Malik Hazli, 12, menyebut sebutan huruf Jawi menjadi satu ayat lengkap juga membuktikan teknik Kiu bukan kaedah biasa.
No More a Breastfeeding Mom
8 years ago