Friday, December 21, 2012

PPK Ikon Pendidikan Khas Orang Pekak

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PPKikonpendidikankhasorangpekak/Article/index_html


KUALA LUMPUR: Kemampuan Pusat Pertuturan Kiu (PPK) di Kampung Pandan, di sini, membantu kanak-kanak pekak yang belajar di pusat itu bertutur seperti insan normal satu pencapaian membanggakan.

Kejayaan itu selayaknya menjadikan PPK sebagai ikon baru dalam dunia pendidikan khas untuk golongan pekak atau cacat pendengaran di negara ini yang perlu dicontohi pihak lain. Apapun, hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memperakui kejayaan berkenaan terhadap kehidupan orang pekak di Malaysia. Namun bagi Penyelia Pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kiu Pendengaran, Rohimah Alias, 50, pengiktirafan JKM itu memadai kerana ia membuktikan perjuangannya dan rakan di PPK sejak hampir 20 tahun lalu tidak sia-sia.

Katanya, tindakan JKM mengiktiraf kelas pendidikan untuk kanak-kanak prasekolah di PPK sebagai anak angkat dengan menjadikan ia cabang PDK untuk Kiu Pendengaran begitu bermakna.

Menurutnya, ia membawa kepada penubuhan PDK Kiu Pendengaran bertempat di No 7, Jalan Wirawati 8, Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur pada 2009.

“PDK Kiu satu-satunya PDK di negara ini yang dikhususkan bagi mengajar kanak-kanak pekak dan bisu mempelajari kaedah Kiu dan pusat ini di bawah seliaan JKM.

“Objektif utama penubuhan pusat ini bagi memahirkan kanak-kanak pekak dan bisu menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira serta mampu mengeluarkan vokal,” katanya.

Menurutnya, kini PDK Kiu memiliki 26 murid berusia antara empat hingga tujuh tahun dan setiap murid disyaratkan memakai alat pendengaran sebelum diterima sebagai pelajar.

“Setiap ibu bapa juga disyaratkan mempelajari dan mahir Kiu supaya ia menjadi satu peringkat pembelajaran yang berterusan sepanjang masa dan tidak hanya dipraktikkan di sekolah.

“Subjek kurikulum yang diajar di PDK Kiu sama seperti diajar kepada kanak-kanak prasekolah iaitu Pendidikan Agama, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Moral,” katanya.

Rohimah berkata, kebiasaannya kanak-kanak pekak boleh mahir kaedah Kiu selepas tiga tahun berada di PDK Kiu dan usia terbaik untuk memulakan kelas adalah pada usia tiga atau empat tahun,” katanya.

PDK Kiu memiliki lima sukarelawan termasuk dirinya yang bertugas mengajar dengan seorang daripadanya ialah bekas pelajar PPK iaitu Nurul Aishah Mohd Hisam, 20.

Nurul Aishah, seorang daripada bekas pelajar PPK yang kini mampu bertutur secara normal berkata, melalui pertuturan Kiu kanak-kanak dapat mempelajari bahasa dengan baik.

“Saya bersyukur kerana PPK membantu saya menjalani kehidupan seperti insan normal tidak seperti sebelum saya memasukinya. Kanak-kanak bermasalah pendengaran mempunyai masa depan cerah sekiranya mereka diberi pendedahan awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03
blog comments powered by Disqus